Sertai kumpulan jenayah, bekas peninju negara dipenjara 5 tahun

Sertai kumpulan jenayah, bekas peninju negara dipenjara 5 tahun

Mahkamah Rayuan menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara 14 anggota geng AYT 99.

Faizal Ramli (berbaju biru) memenangi pingat emas dalam acara Muay Thai di Sukan SEA Myanmar pada 2013. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas peninju negara, Faizal Ramli dan tiga penjawat awam antara 14 individu yang akan menjalani hukuman penjara lima tahun kerana menyertai kumpulan jenayah terancang di Klang, Ayahanda Yie Tiger 99, yang lebih dikenali sebagai AYT 99.

Ia susulan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman mereka.

Hakim Hanipah Farikullah yang mengetuai panel itu berkata, hakim Mahkamah Tinggi mempertimbangkan semua faktor mitigasi dan kepentingan awam dengan sewajarnya, apabila menjatuhkan hukuman penjara minimum lima tahun ke atas setiap individu terbabit.

“Hakim menggunakan budi bicaranya selepas mengambil kira trend hukuman bagi kesalahan itu,” kata Hanipah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Supang Lian.

Responden lain yang berumur 27 hingga 46 tahun ialah Japri Abu Samah, Astro Jakaria, Nuriasbat Maamon, Edi Narsuna Nizar, Faris Yusoff, Fakhrurazi Ali, Sharfiq Ali, Noor Helmie Zanal Abidin, W Ihsan W Razali @ W Husin, Rustam Tanni, Azukismi Che Abdullah, Nik Arzahar Nik Mat dan Masyre Narizan.

Faizal memenangi pingat emas dalam acara Muay Thai di Sukan SEA Myanmar pada 2013.

Masyre dan Nik Arzahar adalah anggota bomba, manakala Azukismi ialah bekas anggota polis. Berdasarkan fakta kes, Masyre merupakan ketua kumpulan itu.

Semua 14 responden mengaku bersalah atas kesalahan itu pada Mac tahun lalu di hadapan Hakim Azmi Abdullah, yang memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan, iaitu antara 2020 dan Februari tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Red Warrior Muay Club, Jalan Sentul, Pandamaran, Klang, antara Mei 2017 dan 22 Jan 2020.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Siasatan dan pendakwaan kes itu dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma), undang-undang bagi memerangi kesalahan terhadap negara bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Mereka dipenjarakan sejak ditahan kerana tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad dan Khairul Aisamuddin Abdul.

Astro dan Edi tidak diwakili peguam, manakala Hakimi Abdul Kadir, S Sathya, Lee Win Xu, A Komathi, Izzat Irfan Taib, Zaleha Hayat, Lailawati Husain dan Fazilawati Hussain mewakili responden lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.