Segera pembaharuan, MMA gesa kerajaan sebalik khabar angin ‘kemungkinan mogok’

Segera pembaharuan, MMA gesa kerajaan sebalik khabar angin ‘kemungkinan mogok’

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata kekecewaan dan kelesuan petugas kesihatan awam kini 'sudah mencapai hadnya'.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata isu sistem penjagaan kesihatan termasuk kemudahan sesak masih gagal diselesaikan sejak bertahun-tahun.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan segera melaksanakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan ketika terdapat khabar angin mengenai mogok yang akan dilancarkan petugas kesihatan.

Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata sistem penjagaan kesihatan dan sumber manusianya “sudah mencapai had” dan persatuan itu tidak terkejut mendengar kemungkinan berlaku mogok oleh petugas kesihatan awam.

Selain kekurangan jawatan tetap untuk diberikan kepada doktor kontrak, Muruga juga membangkitkan mengenai kemudahan penjagaan kesihatan awam yang sesak, kekurangan kakitangan, gaji rendah dan waktu kerja panjang antara isu dihadapi petugas kesihatan sejak bertahun-tahun.

Katanya, MMA tidak menyokong sebarang mogok, tetapi persatuan faham tentang kekecewaan dan kelesuan dihadapi petugas kesihatan yang kini sudah “mencapai hadnya”.

“Walaupun (mogok) hanya khabar angin buat masa ini, Kementerian Kesihatan, Kewangan, dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memandang serius sentimen petugas kesihatan dan mempercepatkan pembaharuan yang sangat diperlukan bagi menangani isu sudah lama mereka hadapi,” katanya dalam kenyataan.

“Isu yang petugas kesihatan hadapi ini sudah berlanjutan sejak bertahun-tahun dengan sedikit atau tiada perubahan.

“Tiga kerajaan bertukar dalam tempoh tiga tahun lalu dan muncul harapan baharu setiap kali Jemah Menteri dan pentadbiran baharu tetapi tiada siapa mampu menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Muruga berkata, isu sistem kesihatan awam tidak boleh dilihat sebagai masalah untuk diselesaikan oleh menteri kesihatan seorang sahaja.

Katanya, banyak isu terutama berkaitan sumber manusia, memerlukan peruntukan dan rancangan Kementerian Kewangan dan JPA.

Menurutnya, MMA juga menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan mogok kepada Kementerian Kesihatan ketika pertemuan baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ipoh Howard Lee dilaporkan bimbang dengan kemungkinan petugas kesihatan awam akan melakukan mogok.

Malaysiakini yang memetik ketua Pemuda DAP itu sebagai berkata, beliau mendapat tahu mengenai kemungkinan mogok daripada beberapa doktor kontrak dan tetap di seluruh negara.

Lee berkata, kumpulan doktor berkenaan tidak memihak kepada mana-mana gerakan tetapi berkongsi kekecewaan yang sama mengenai tekanan dihadapi sektor penjagaan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.