
Loke berkata, salah satu KPI utama akan melibatkan gangguan perkhidmatan dihadapi oleh penumpang.
“(Kita) nak kurangkan gangguan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif Arts on the Move.
Loke berkata, KPI juga akan diumumkan dan dikongsi dengan orang ramai supaya mereka boleh memantau prestasi Prasarana.
“(KPI) Disambut baik oleh pihak pengurusan dan perbincangan beberapa parameter akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan saya akan umumkan bagaimana laporan itu akan dihantar tidak lama lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata aplikasi MyJPJ ditambah dengan beberapa ciri baharu khususnya berhubung pendaftaran pengguna.
Katanya, ciri itu bagi memastikan pihak ketiga tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan kad pengenalan milik orang lain.
Loke berkata, pengguna perlu menambah satu set nombor yang terdapat di sebalik lesen memandu mereka yang unik bagi setiap individu.
“Jadi semasa mendaftar anda mesti mempunyai nombor ini, jika tidak anda tidak boleh mendaftar. Bagi mereka yang tidak mempunyai lesen, perlu mendaftar di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlebih dahulu,” katanya.
Minggu lalu, Loke mengumumkan kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia tidak lagi perlu mempamerkan lesen kenderaan bermotor mereka, yang biasanya dirujuk sebagai cukai jalan.
Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan JPJ, khususnya bagi lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu.