Peruntuk masa tetap untuk Ahli Parlimen ketengah isu, kata penyelidik

Peruntuk masa tetap untuk Ahli Parlimen ketengah isu, kata penyelidik

Maha Balakrishnan mencadangkan empat jam setiap petang Rabu diperuntukkan semasa mesyuarat Dewan Rakyat.

Veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan ‘hari pembangkang’ diwujudkan untuk Ahli Parlimen memutuskan urusan Parlimen yang akan dijalankan. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat harus memperuntukkan masa setiap minggu untuk Ahli Parlimen mengemukakan isu yang ingin diketengahkan, menurut penyelidik dasar awam Maha Balakrishnan.

Beliau mencadangkan empat jam setiap petang Rabu diperuntukkan semasa mesyuarat Dewan Rakyat.

Maha berkata demikian sebagai respons kepada cadangan “hari pembangkang” khas oleh veteran DAP Lim Kit Siang. Menurut Lim, Ahli Parlimen pembangkang akan membuat keputusan mengenai urusan Parlimen yang akan dijalankan.

Maha, seorang felo Institut Jeffrey Cheah, berkata cadangan Lim memerlukan peraturan dan proses lain dipinda.

Katanya, kerajaan boleh mempengaruhi penetapan hari dalam kalendar Parlimen. Di negara lain, katanya, “hari pembangkang” ditetapkan dalam tempoh yang tidak sesuai, menyebabkan peratusan kehadiran Ahli Parlimen rendah.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, bilangan “hari pembangkang” yang dicadangkan harus digandakan.

“Di UK, terdapat purata 20 hari pembangkang untuk purata 224 sidang (Parlimen) setahun,” katanya.

“Memandangkan kita mempunyai purata 70 sidang setahun, saya cadangkan enam hari (diperuntukkan) sebagai permulaan.”

Beliau turut mencadangkan agenda pembangkang dihadkan kepada pembentangan rang undang-undang persendirian dan usul yang difailkan oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengutamakan penambahbaikan fungsi jawatankuasa pilihan khas terlebih dahulu, kerana ia tidak berfungsi dengan baik sejak dua tahun lepas.

Beliau mencadangkan supaya Ahli Parlimen dilatih cara menjalankan pendengaran jawatankuasa supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan lebih berkesan meneliti kementerian yang mereka perhatikan.

“Jika mereka jawatankuasa pilihan khas dapat dilaksanakan dengan betul, maka Parlimen akan menjadi sangat bagus.

“Kemudian kita boleh mengelak perbalahan (dalam kalangan Ahli Parlimen),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.