
Lesen itu dibaharui tanpa sebarang perubahan pada syaratnya, bermakna syarikat itu akan dilarang mengimport dan memproses nadir bumi selepas 1 Julai.
“Selepas 10 tahun beroperasi dengan selamat di Malaysia, kami kecewa kerana syarat-syarat yang digunakan untuk lesen operasi pada 2020 kekal.
“Ini lesen operasi keenam kami dan empat lesen yang diberikan sebelum 2020 tidak termasuk syarat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze dalam kenyataan hari ini.
Syarikat itu yang mempunyai kilang pemprosesan di Gebeng, Pahang, akan dikehendaki menutup kemudahan retak dan larut lesapnya selepas 1 Julai selaras dengan syarat pelesenan.
Lacaze berkata, syarat itu tidak konsisten dengan syarat Lynas dijemput untuk melabur di Malaysia dan saranan empat semakan saintifik bebas, yang setiap satunya mendapati operasi syarikat itu “berisiko rendah dan mematuhi peraturan”.
“Kami kini akan teruskan dengan rayuan pentadbiran dan perundangan untuk memastikan Lynas dilayan secara adil dan saksama sebagai pelabur langsung asing dan majikan penting serta penyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.
Sebelum lesen Lynas dibaharui kali ini, beberapa laporan berita mengatakan syarikat itu akan dihalang daripada menghasilkan sisa radioaktif.
Pada Mei 2019, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, berkata Lynas akan dibenarkan meneruskan operasi kilang pemprosesannya di Gebeng.
Beliau berkata, kerajaan perlu membaharui lesen syarikat itu kerana tidak mahu kehilangan pelaburan yang begitu besar.
Lesen operasi untuk kilang pemprosesan Lynas sepatutnya dibaharui pada September tahun itu tetapi berdepan risiko berikutan kebimbangan mengenai pelupusan sisa.
Lynas kemudiannya menegaskan bahawa ia sentiasa mematuhi peraturan penyimpanan yang ditetapkan oleh kerajaan dan kemudahan penyimpanan sisanya dikendalikan dengan cara yang betul.