
NGO alam sekitar antarabangsa, Bruno Manser Fund, dan pertubuhan Penan, Keruan, berkata penduduk kampung membuat bantahan itu terhadap sebuah syarikat pembalakan.
Mereka menuntut firma terbabit berhenti “memusnahkan tanah tanpa kebenaran”.
Dalam kenyataan, dua kumpulan itu berkata, komuniti berkenaan berdepan masalah dengan syarikat itu sejak 2016.
Situasi bertambah buruk apabila ketua masyarakat itu, Panai Irang, digantikan dengan individu lain yang didakwa menyokong kerja pembalakan. Beberapa ahli komuniti itu sudah memohon semakan kehakiman untuk membatalkan pelantikan Arun Nyaling.
“Kami perlu pilih ketua baharu, biar kami pilih sendiri siapa layak jadi pemimpin,” kata Panai.
Nick Kelesau daripada Keruan berkata, pembalakan mesti dihentikan segera sehingga ketua baharu dipilih. Ramai dalam komuniti Penan itu, katanya, menentang lantikan kerajaan bagi jawatan itu.
Beliau mendakwa, konsesi pembalakan di Ba Abang tidak diperakui Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).