Hutang negara, bantuan gempa bumi antara tumpuan sidang hari ini

Hutang negara, bantuan gempa bumi antara tumpuan sidang hari ini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menjawab berhubung punca kenaikan hutang negara setiap tahun dan usaha menanganinya.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari sehingga 30 Mac ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kedudukan terkini jumlah hutang negara, bantuan Malaysia kepada kerajaan Turki dan Syria berikutan bencana gempa bumi serta isu kes rasuah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, soalan berkenaan akan dijawab Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri.

Bagi soalan berkaitan hutang negara dibangkitkan Wong Kah Woh (PH-Taiping), beliau turut meminta perdana menteri menyatakan punca kenaikan hutang negara setiap tahun serta usaha kerajaan menyelesaikannya.

Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) bertanyakan mengenai gempa bumi turut meminta perincian kos keseluruhan atur gerak anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) yang dihantar ke kawasan bencana di Turki dan Syria.

Sementara itu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) bertanyakan mengenai penyiasatan kes rasuah meminta perdana menteri menyatakan strategi penambahbaikan dan fokus utama kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan penyiasatan jenayah itu mendatangkan impak yang besar.

Semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) bertanyakan kepada menteri komunikasi dan digital mengenai dasar jangka masa pendek, pertengahan dan panjang Kementerian terhadap aplikasi media sosial seperti TikTok yang disalah guna hingga menjejaskan perpaduan rakyat.

Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pula meminta menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup menyatakan inisiatif dirangka di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang kementerian itu untuk menangani bebanan kos sara hidup tinggi.

Selepas sesi soal jawab, perdana menteri dijadual membentangkan usul bagi menubuhkan Jawatankuasa Pemilih yang akan dipengerusikannya serta melantik enam Ahli Parlimen lain.

Selain itu, turut dibentangkan ialah usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja yang akan menyaksikan ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan usul.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari sehingga 30 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.