Tabah hadapi cabaran, Agong rakam penghargaan pada rakyat

Tabah hadapi cabaran, Agong rakam penghargaan pada rakyat

Rakyat Malaysia telah hidup dengan penuh kerukunan dan terus gagah menghadapi pelbagai gelora, termasuk kemurungan ekonomi dan kemelut politik, kata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menyeru Ahli Parlimen agar berkhidmat setulus hati kepada pengundi.
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat yang tabah menghadapi pelbagai cabaran.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat beta yang hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik, kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air,” titahnya ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, termasuk tentera, polis, petugas kesihatan, dan kakitangan di agensi kerajaan atas kerja keras mereka.

Di samping itu, baginda menyeru Ahli Parlimen agar menghormati Dewan Rakyat dan mengutamakan pengundi.

“Jagalah nama baik dan kehormatan dewan yang mulia ini; dan berkhidmat setulus hati sebagai wakil rakyat yang sentiasa meletakkan rakyat beta; dan masa depan negara dalam hati sanubari setiap ahli-ahli yang berhormat,” titahnya.

Baginda mengalu-alukan usaha kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk membendung ketirisan dana awam dan komitmen memerangi rasuah.

Titahnya, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju.

“Ini dapat dicapai menerusi kerja keras dengan pendekatan ‘whole of nation approach’ dari pelbagai pihak merangkumi kerajaan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat keseluruhannya,” titahnya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan usaha untuk meningkatkan teknologi hijau dan kenderaan elektrik bagi mewujudkan aliran pendapatan baharu bagi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.