Sebabkan kematian penceroboh, bekas jurulatih menembak diarah bela diri

Sebabkan kematian penceroboh, bekas jurulatih menembak diarah bela diri

Dalam kejadian 1 Feb 2010, seorang lelaki ditembak mati selepas cuba memecah masuk rumah tertuduh melalui pintu belakang.

Hakim membuat keputusan itu terhadap Zamil Ahmad Murad selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang bekas jurulatih menembak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu diarah membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki dengan niat pada 13 tahun lalu.

Berita Harian melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap Zamil Ahmad Murad, 62, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian Syed Haikar Iskandar Syed Mahdzar, 34, di kawasan semak belakang sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus, antara 4.15 petang hingga 4.30 petang 1 Feb 2010.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 dan 12 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan kes di peringkat pembelaan.

Dalam kejadian 1 Feb 2010, seorang lelaki ditembak mati selepas cuba memecah masuk rumah tertuduh melalui pintu belakang.

Jurulatih terbabit yang ketika itu berada di pusat latihan menembak, pulang ke rumahnya selepas dihubungi isteri memaklumkan ternampak kelibat lelaki cuba memecah masuk rumah mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.