Samun bersenjata, 2 termasuk wanita ditahan

Samun bersenjata, 2 termasuk wanita ditahan

Suspek yang masing-masing berusia 31 dan 26 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang dan Kuala Langat.

Penahanan dua suspek itu berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang dan kes pecah rumah, kata polis.
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita antara dua ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan dan bersenjatakan parang di sebuah rumah di USJ 9, Subang Jaya, semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 26 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang dan Kuala Langat.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa seorang kerani wanita berumur 43 tahun sedang tidur dalam bilik di tingkat atas dikejutkan suspek lelaki sambil mengacukan parang sebelum mengikat tangannya menggunakan wayar pengecas.

“Suspek turut mengikat tangan ayah mangsa sebelum membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah selain turut mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azlan berkata kedua-dua suspek mengeledah rumah dan mengambil antaranya barangan kemas, telefon bimbit, dan wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM7,000 sebelum melarikan diri dengan kereta yang dipandu seorang lelaki di hadapan rumah mangsa.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berjaket coklat, seluar jeans biru, memakai pelitup muka dan sarung tangan memanjat tembok bahagian tepi rumah sebelum masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.

“Rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran sedang diteliti untuk membantu siasatan dan polis turut merampas antaranya sebuah kereta, dua telefon bimbit, sebuah tablet, dokumen, dan beg berkaitan kes ini,” katanya.

Beliau berkata hasil penahanan kedua-dua individu itu, polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang dan satu kes pecah rumah yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Orang ramai yang mempunyai maklumat kes diminta menghubungi pusat kawalan daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau pegawai penyiasat, Inspektor S Anthony John, di talian 016-2093470.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.