Lynas belum dimaklum mengenai perubahan syarat lesen

Lynas belum dimaklum mengenai perubahan syarat lesen

Syarikat perlombongan nadir bumi Australia itu telah memohon pembaharuan tiga tahun untuk lesen operasinya yang akan tamat pada Mac.

Lynas berharap lesen operasinya, yang akan tamat pada Mac, dapat dibaharui untuk tempoh tiga tahun lagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lynas masih belum dimaklumkan mengenai sebarang perubahan pada syarat pelesenannya di tengah-tengah spekulasi bahawa ia tidak lagi dibenarkan menghasilkan sisa radioaktif di Malaysia.

Syarikat perlombongan nadir bumi Australia itu, yang mempunyai kilang pemprosesan di Gebeng, Pahang, memohon pembaharuan tiga tahun untuk lesen operasinya yang akan tamat pada Mac.

“Lynas Rare Earths Ltd mengambil maklum spekulasi media baru-baru ini berhubung syarat yang terpakai untuk pembaharuan lesen operasi Lynas Malaysia.

“Pada masa ini, syarikat belum dimaklumkan mengenai sebarang keputusan oleh pengawal selia Malaysia berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beberapa laporan berita, Lynas akan dilarang daripada menghasilkan sisa radioaktif.

Malaysiakini dan The Straits Times Singapura menerbitkan laporan memetik sumber yang menyatakan bahawa syarikat perlombongan itu mesti memindahkan kemudahan retak dan larut lesapnya keluar dari Malaysia sebelum Julai, dan hanya menapis bahan perantaraan di kemudahannya di Gebeng, jika ia berharap untuk membaharui lesennya.

Pada Mei 2019, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, berkata Lynas akan dibenarkan meneruskan operasi kilang pemprosesannya di Gebeng.

Beliau berkata kerajaan perlu membaharui lesen syarikat itu kerana tidak mahu kehilangan pelaburan yang begitu besar.

Lesen operasi untuk kilang pemprosesan Lynas sepatutnya dibaharui pada September tahun itu tetapi berdepan risiko berikutan kebimbangan mengenai pelupusan sisa.

Lynas kemudiannya menegaskan bahawa ia sentiasa mematuhi peraturan penyimpanan yang ditetapkan oleh kerajaan dan kemudahan penyimpanan sisanya dikendalikan dengan cara yang betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.