
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata bukan rahsia bekas ketua Pemuda Umno itu bercita-cita menjadi perdana menteri namun pemecatannya daripada parti menjejaskan perancangannya.
Sehubungan itu, menurut Fauzi, Khairy memilih platform radio untuk menyuarakan pandangannya yang sentiasa dinantikan ramai tanpa perlu menyertai mana-mana parti.
“Lebih-lebih lagi (pandangan) bernada kritis terhadap pemerintah,” katanya kepada FMT.
Khairy yang dipecat Umno pada 27 Jan lalu akan memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM mulai Rabu ini. Beliau bakal bersiaran dalam segmen “Bekpes Hot” dari 6 pagi hingga 10 pagi.
Mengulas lanjut, Fauzi melihat tindakan Khairy itu strategi jangka panjang bagi mencapai cita-cita politik menjadi perdana menteri.
“Ia bukan sebuah gimik. Harus diingat, Anwar Ibrahim (perdana menteri kesepuluh) mengambil masa hampir 25 tahun selepas dipecat untuk mencapai cita-citanya.
“Bagi KJ, ia satu strategi jangka panjang ke arah merealisasikan cita-cita politiknya,” katanya.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula berpandangan pembabitan Khairy sebagai DJ Hot FM mungkin untuk memposisi kedudukannya dalam kalangan orang muda selepas kerjaya politiknya dalam Umno ditamatkan.
“Ini satu perkembangan positif kerana pembabitan KJ di radio boleh memberi pencerahan kepada anak muda dan pengundi di atas pagar,” katanya.
Dalam nada berbeza, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara melihat taktik Khairy menjadi penyampai radio sebagai publisiti semata-mata dan tidak akan memberi kesan kepada kerjaya politiknya jika hanya bekerja pada jangka pendek.
“Kalau dia menjadi DJ secara tetap atau dalam jangka 6 bulan ke setahun, itu mungkin ada kesannya,” katanya.