
Pengarah Kanan Siasatan Hishamuddin Hashim memaklumkan kertas siasatan dirujuk semula kepada timbalan pendakwa raya dan SPRM diarah menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan.
“Kes tersebut dikaji semula untuk melihat keterangan-keterangan yang ada.
“Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada timbalan pendakwa raya dan arahan dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kes berhubung dakwaan penyelewengan zakat membabitkan Mains itu dibuka dan disiasat pada 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.
Sebelum itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, dilapor berkata siasatan berhubung dakwaan penyelewengan zakat membabitkan Mains tidak menemui sebarang unsur kesalahan rasuah bawah Akta SPRM.
Beliau berkata kertas siasatan dibuka pada 2019 dan siasatan selesai pada tahun sama.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata SPRM dan polis sedang menyiasat dakwaan rasuah membabitkan jutaan ringgit zakat yang dikutip Mains.
SPRM dilaporkan sudah menerima maklumat berhubung dakwaan itu tetapi tiada tangkapan setakat ini.