
Menurut Air Selangor di media sosial pagi tadi, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.
Dilaporkan pagi semalam bahawa lebih 1,000 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang.
Air Selangor memaklumkan henti tugas sementara itu melibatkan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3.
“Lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (30 kawasan), Klang & Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (3 kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” katanya dalam kenyataan.
Menjelang tengah hari semalam, bekalan air sudah mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna terjejas apabila ketiga-tiga LRA kembali beroperasi sepenuhnya.