Bekalan air di 7 kawasan terjejas di Selangor pulih 94%

Bekalan air di 7 kawasan terjejas di Selangor pulih 94%

Bekalan air di Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat pulih sepenuhnya, manakala Klang, Shah Alam serta Kuala Selangor masing-masing pulih 83% dan 99%.

Air Selangor berkata, bekalan air di semua kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi esok.
KUALA LUMPUR:
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air disebabkan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) berikutan pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang sejak malam Sabtu lepas, pulih hampir 94% setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata bekalan air di Petaling, Gombak, Hulu Selangor, dan Kuala Langat pulih sepenuhnya, manakala Klang, Shah Alam, serta Kuala Selangor masing-masing pulih 83% dan 99%.

Katanya, kawasan di Kuala Selangor yang belum pulih bekalan air ialah Bukit Kerayong, manakala Klang dan Shah Alam melibatkan 65 kawasan, antaranya Kampung Bukit Cerakah, Aman Perdana, Bandar Baru Bukit Raja, Taman Sri Andalas, Seksyen 25 serta Taman Batu Tiga (Taman Mutiara Subang).

“Tempoh pemulihan bekalan air berbeza daripada satu kawasan dengan kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bekalan air untuk semua kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi esok.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna yang mendapat bekalan air juga diharap menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang menyebabkan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 dihenti tugas sejak malam 11 Feb lepas, namun semua loji itu kembali beroperasi sepenuhnya pada keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.