
Beliau berkata, ahli DAP mesti mempunyai anjakan minda.
“Jadi saya nak memberikan peringatan ini supaya pemimpin DAP di semua peringkat tidak perlu menimbulkan apa-apa polemik dalam masyarakat. Tak guna kita bangkitkan masalah sahaja, kita mesti mencari jalan penyelesaian.
“Kita adalah sebahagian daripada kerajaan. Peranan kerajaan sekarang untuk menyelesaikan masalah, bukan hanya membangkitkan masalah,” katanya pada sidang media di Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau mengakui ia mengambil sedikit masa untuk pemimpin dan akar umbi untuk melakukan anjakan minda.
Loke berkata demikian ketika mengulas kenyataan timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan gesaan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) supaya tindakan diambil terhadapnya.
Ketika ditanya sama ada DAP bercadang mengambil tindakan terhadap Ramasamy, Loke berkata parti itu “mempunyai caranya sendiri” dengan menggunakan “saluran dan pendekatannya”.
“DAP ada cara uruskan hal dalaman kita. Jadi apa-apa pandangan rakan-rakan kita, saya ucapkan terima kasih tetapi kita ada cara kita untuk uruskan hal dalaman,” katanya.
Semalam, Pemuda PKR Pulau Pinang menggesa Ramasamy meletak jawatan sebagai timbalan ketua menteri susulan gesaan pembaharuan terhadap perkhidmatan awam yang didominasi orang Melayu.
Ramasamy, yang juga timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, turut didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis dan “mencari publisiti murahan” yang mencetuskan kontroversi sebelum ini, lapor Sinar Harian.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf, berkata gesaan terbaru Ramasamy membuktikan beliau tidak menguntungkan kerajaan dan negara.
Ramasamy dilaporkan menggesa perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara. Beliau kemudian menjelaskan bahawa gesaannya agar dilakukan pembaharuan dalam perkhidmatan awam, bukan untuk memecahkan “monopoli orang Melayu”.
Pemansuhan cukai jalan
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk memansuhkan cukai jalan sepenuhnya berikutan langkah mendigitalkan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Loke berkata itu bukan soalnya.
Katanya, kedua-duanya adalah “perkara berlainan” kerana cukai jalan adalah hasil kerajaan.
“Tanpa hasil (daripada cukai itu), bagaimana kita nak mentadbir negara?” katanya.
Beliau berkata separuh daripada pendapatan tahunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM4 bilion diperoleh daripada cukai jalan yang dikenakan ke atas semua kenderaan.
Minggu lalu, Loke, yang juga menteri pengangkutan, mengumumkan kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan LKM mereka, yang biasanya dirujuk sebagai cukai jalan.
Loke berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya untuk mendigitalkan perkhidmatan JPJ, khususnya bagi LKM dan lesen memandu.