
Veteran DAP mencadangkan tiga “hari pembangkang” dengan dua daripadanya melibatkan sidang Parlimen lebih panjang dan sehari bagi sidang pendek.
“Saya mencadangkan reformasi Parlimen merangkumi pengenalan ‘hari pembangkang’ di mana pembangkang dapat memutuskan urusan Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menyatakan mengenai Parlimen British memperuntukan 20 hari bagi pembangkang membincangkan subjek pilihan parti pembangkang.
Lim turut membangkitkan isu Hamzah Zainudin dipilih Perikatan Nasional (PN) sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat, berbanding dua pimpinan utama gabungan itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Beliau menggesa Hamzah yang diberikan peranan seperti menteri dalam pembentukan Jemaah Menteri bayangan, menjelaskan bagaimana Muhyiddin dan Hadi boleh dianggap calon perdana menteri seterusnya jika kedua-duanya “tidak bersedia” menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin pembangkang.
Pada 2 Feb, PN mengumumkan Jemaah Menteri bayangan melibatkan 26 Ahli Parlimen yang menjadi jurucakap pembangkang berhubung perkara dalam portfolio masing-masing.
Jemaah Menteri bayangan itu ditunjangi Muhyiddin, sebagai ketua whip atau ketua Parlimen gabungan pembangkang, manakala Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang.
Mengikut sistem Parlimen Westminster, kumpulan Jemaah Menteri bayangan Ahli Parlimen pembangkang kebiasaannya diketuai ketua pembangkang, membayangi kedudukan ahli Jemaah Menteri. Mereka tidak mempunyai kuasa eksekutif namun meneliti dasar dan tindakan kerajaan, selain menawarkan dasar alternatif.
Susulan itu, Bersih menggesa Putrajaya menjadikan Jemaah Menteri bayangan mempunyai kekuatan perundangan, melibatkan undang-undang menggariskan fungsi dan haknya.
Katanya, undang-undang seumpama itu memboleh Jemaah Menteri bayangan menjalankan tanggungjawab semak dan imbang lebih kuat terhadap kerajaan.
Kumpulan itu juga menuntut dilakukan upacara angkat sumpah, pembayaran elaun iaitu satu pertiga daripada gaji menteri, peruntukan kepada pegawai penyelidik, dan akses kepada maklumat kerajaan bagi pembentukan dasar realistik.
Sidang Parlimen pertama bagi penggal ke-15 akan bermula esok. Sidang dijadual berlangsung selama 29 hari.