Kepala air landa Bukit Tinggi, Janda Baik

Kepala air landa Bukit Tinggi, Janda Baik

Insiden tidak melibatkan mangsa dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Hujan lebat menyebabkan banjir di Bukit Tinggi, Pahang, petang tadi.
KUANTAN:
Hujan lebat menyebabkan 15 premis perniagaan dan lima rumah di Bukit Tinggi serta Janda Baik di Bentong dilanda fenomena kepala air petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Bentong, Azizah Husain, berkata pihaknya dimaklumkan insiden di Bukit Tinggi berlaku pada kira-kira 6 petang.

“Kejadian berlaku selama hampir sejam dan penduduk mula membersihkan premis perniagaan dan rumah mereka kerana disaluti lumpur yang dibawa kepala air sekitar 7 malam,” katanya ketika dihubungi.

Kerja pembersihan turut dibantu pihak berkuasa termasuk APM, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Azizah berkata, insiden tidak melibatkan mangsa dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Bentong melalui media sosial memaklumkan laluan FT68 di jalan lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan kerana berlaku runtuhan sepanjang 100m.

Orang ramai boleh menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebagai laluan alternatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.