
Menurut Lembaga Urus Air Selangor (Luas), pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dikesan jam 9.45 malam tadi menyebabkan empat loji terpaksa dihenti tugas selama empat jam untuk mengelakkan kesan lebih teruk.
Henti tugas membabitkan LRA Rantau Panjang serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).
“Hasil semakan awal di keseluruhan lembangan Sungai Selangor, permasalahan pencemaran bau tersebut dikenal pasti berkaitan bau tumpahan minyak dari aktiviti jentera berat (diesel).
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan berkaitan,” katanya di Facebook.
Menurut Air Selangor, lapan wilayah terjejas susulan pencemaran berkenaan iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279), Hulu Selangor (30), Klang & Shah Alam (189), Kuala Langat (3), Kuala Lumpur (186) dan Kuala Selangor (280).
Luas berkata, sumber air mentah ke muka sauk empat loji terbabit berjaya disalurkan secara berperingkat di antara jam 1.30 pagi hingga 2.15 pagi selepas merekodkan bacaan bau 0 ton secara konsisten dalam tiga pensampelan.
“Insiden berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut yang meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan cepat,” katanya.