
Menyedari bahawa individu terlibat “tidak mengira sempadan negara”, Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura, Josephine Teo, berkata peningkatan kerjasama antara jiran rapat itu amat tepat pada masanya, terutama rangka kerja kerjasama dalam ekonomi digital yang ditandatangani kedua-dua negara pada 30 Jan.
Di bawah rangka kerja itu, kedua-dua negara bersetuju menyokong aliran data rentas sempadan, melindungi data peribadi lebih baik, dan seterusnya membangunkan sistem e-pembayaran rentas sempadan selamat dan terjamin.
Teo berkata satu cara menangani penipuan secara dua hala dengan lebih baik ialah melalui perkongsian risikan lebih awal, di mana pihak sudah mengenal pasti penipuan tertentu yang semakin meningkat, boleh berkongsi maklumat itu dengan pihak lain – sekali gus menghalang penipuan terus merebak.
Beliau turut mencadangkan potensi kerjasama dalam perkongsian maklumat terhadap individu yang dikenal pasti sebagai pelakunya, menyatakan bahawa mereka berkemungkinan mempunyai rakan kongsi yang menyokong mereka di tempat lain dalam rangkaian.
“Sudah ada beberapa saluran kerjasama yang sedia ada. Apa yang kami ingin lakukan ialah memperhebat dan melipat gandakan jenis kerjasama yang kita ada,” kata Teo kepada sekumpulan media Malaysia.
“Banyak lagi yang boleh kita lakukan bersama. Kita tidak perlu menunggu sehingga kes penipuan telah mencapai skala (sebelum melakukan sesuatu mengenainya). Kita sebenarnya boleh berkongsi maklumat lebih awal. Pertukaran seperti ini membantu kita memerangi penipuan lebih berkesan.
“Orang ramai mahu rasa selamat ketika dalam talian dan dilindungi daripada penipuan, jadi saya rasa ini bermakna diadakan lebih banyak kerjasama lagi.”
Menegaskan ‘scammer’ adalah pakar dalam menggunakan kelemahan psikologi manusia, Teo menyatakan, penipuan yang mungkin berkesan di Singapura mungkin juga berkesan di Malaysia kerana banyak persamaan dari segi budaya.
Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (JSJK) mendedahkan sejumlah 71,833 scam dilaporkan antara 2020 dan Mei 2022, dengan mangsa kerugian lebih RM5.2 bilion.
Daripada jumlah keseluruhan, 48,850 atau 68% adalah penipuan dalam talian – dengan 26,213 daripada kes tersebut (54%) didakwa di mahkamah. Jenis penipuan lain termasuk pinjaman dan pelaburan (11,875 kes) dan pekerjaan (350 kes).
Menurut data dikeluarkan polis Singapura, pada Rabu, mangsa penipuan di negara itu kerugian SGD660.7 juta (RM2.2 bilion) pada 2022, peningkatan 4.5% daripada SGD632 juta (RM2.1 bilion) yang dicatatkan pada 2021.
Lima penipuan tertinggi ialah pancingan data, pekerjaan, e-dagang, pelaburan dan panggilan rakan palsu, yang merangkumi lebih daripada 80% daripada penipuan yang dilaporkan di Singapura.