Kertas Putih vaksin bukan untuk cari salah, kata pemimpin DAP

Kertas Putih vaksin bukan untuk cari salah, kata pemimpin DAP

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata Kertas Putih itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap masalah ketika ini.

Kerajaan berkata Kertas Putih perolehan vaksin akan dibentangkan tetapi bekas anggota kerajaan terdahulu mendakwa pembelian itu dilakukan secara teratur mengikut tatacara kewangan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Johor yang pernah mempersoalkan perbelanjaan berlebihan kerajaan untuk membeli vaksin Covid-19 berkata, Kertas Putih mengenai isu itu bukan untuk mencari salah atau menghukum sesiapa.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, berkata Kertas Putih itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap masalah ketika ini.

Katanya, pembantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad tidak memahami peranan Kertas Putih kerajaan apabila beliau mempersoalkan keperluan menerbitkannya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendedahkan sebahagian pembelian vaksin Covid-19 diluluskan oleh menteri yang berkuasa ketika itu tanpa persetujuan Pejabat Peguam Negara.

Katanya, menteri kesihatan akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos dikeluarkan.

Marzuki mendakwa, perolehan itu dilakukan secara teratur mengikut tatacara kewangan dan perkara itu diteliti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Boo memberitahu FMT: “Penting untuk menteri kesihatan membentangkan Kertas Putih berkait penemuan dalam PAC itu.

“Ramai terus membuat kesimpulan bahawa ia bertujuan menghukum seseorang secara politik. Kita patut lihat dari sudut positif di mana kerajaan lebih bertanggungjawab dan sedia menjawab sebarang pertanyaan berkaitan salah laku dalam perbelanjaan dana awam dan memberikan penyelesaian terhadap persoalan dibangkitkan,” katanya.

Dua tahun lalu, Boo menuduh Putrajaya berbelanja berlebihan antara RM900 juta dan RM1.4 bilion untuk membeli vaksin, lebih mahal bagi satu dos berbanding di Amerika Syarikat.

Boo berkata, menjadi kepentingan awam untuk menyiasat dan mencadangkan langkah bagi mengelak berlaku kemungkinan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.