
Presidennya, Sri Ganesh Michiel, yakin lebih ramai pengembara Eropah akan berpusu-pusu ke negara ini jika bukan kerana dasar visa Malaysia yang “ketat”
Beliau memberitahu FMT, kos dan kesulitan memohon visa menjadi penghalang bagi pelancong yang berhasrat datang ke negara ini.
“Orang Eropah biasanya melancong ke Thailand dan mungkin ingin pergi ke negara jiran seperti Malaysia, namun mereka dikekang oleh dasar visa kita.
“Kementerian pelancongan sudah menekankan isu visa ketibaan, tetapi nampaknya ia tidak selaras dengan kementerian lain,” katanya.
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) juga menyokong cadangan dikemukakan, sambil memberi amaran kepada kerajaan bahawa mengenakan dasar visa yang ketat akan mengurangkan peluang bagi pertumbuhan ekonomi dan kewujudan pekerjaan.
Setiausaha agung kehormatnya, Faeez Fadhlillah berkata, prosedur memohon visa, yang membabitkan masa menunggu yang lama dan memakan kos, menjadi kekangan buat pengembara.
“Memandangkan ekonomi global menuju kemelesetan, kerajaan perlu bertindak pantas untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara jiran.
“Kos dan kesulitan yang dialami sewaktu memohon visa menjadi kekangan utama untuk berkunjung ke mana-mana negara,” katanya.
Pada masa ini, visa ketibaan disediakan bagi pengembara dari China dan India, termasuk mereka yang masuk ke Malaysia dari Singapura, Indonesia, Thailand, atau Brunei.
Pada Rabu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata, Malaysia sepatutnya meneliti langkah membenarkan visa ketibaan bagi pengembara dari semua negara, untuk mengekalkan daya saing dalam industri pelancongan global.
Tiong berkata, faktor keselamatan tidak sepatutnya menjadi alasan menghalang ketibaan pelancong. Tambahnya, beliau yakin dengan kemampuan pihak berkuasa menangani lonjakan pengunjung, serta mengekalkan ketenteraman di pintu masuk negara.