Rating PM 68%, menurut kaji selidik Merdeka Center

Rating PM 68%, menurut kaji selidik Merdeka Center

Kaji selidik oleh Merdeka Center dijalankan bermula 26 Dis hingga 15 Jan itu melibatkan 1,209 pengundi rentas semua kaum.

Lebih separuh daripada responden gembira dengan prestasi kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, manakala 25% menyatakan tidak puas hati. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima 68% rating penerimaan selepas dua bulan berakhirnya PRU15, menurut kaji selidik.

Kaji selidik oleh Merdeka Center dijalankan bermula 26 Dis hingga 15 Jan itu melibatkan 1,209 pengundi rentas semua kaum.

Kajian mendapati 54% responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan, manakala 25% menyatakan tidak puas hati.

Hampir suku daripadanya enggan memberi pandangan mereka, yang mana pusat kajian itu berkata, ia penunjuk mengambil sikap berhati-hati selepas empat tahun berdepan ketidaktentuan politik di negara ini.

Katanya, walaupun timbul sikap berwaspada, mereka masih menunjukkan tanda optimis, dengan 48% responden berkata, negara menuju ke haluan betul, berbanding 20% berpandangan sedemikian, pada Oktober lalu.

Merdeka Center berkata, 43% responden optimis mengenai ekonomi negara pada tahun mendatang, dan 38% optimis berhubung prospek kewangan peribadi mereka.

“Sikap ‘tunggu dan lihat’ mungkin didorong kebimbangan kuat berhubung pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup, yang dinyatakan masing-masing 20 dan 19%, sebagai isu perlu ditumpukan kerajaan baharu,” menurut dapatan itu.

Kaji selidik juga mendapati 79% responden mengalu-alukan keputusan PRU15, dengan 77% yakin kerajaan perpaduan mampu membawa kestabilan dan inklusif dalam politik negara.

“Keputusan kaji selidik menunjukkan pengundi Malaysia cenderung meletakkan ketidaktentuan membelenggu politik negara ke belakang, dan bergerak dengan memberi ruang kepada pimpinan baharu membuktikan kemampuan.

“Walaupun ramai menerima kerajaan perpaduan, rakyat masih menyimpan penilaian mereka terhadap kerajaan baharu,” katanya.

Merdeka Center berkata, rasa puas hati rakyat akan ditentukan menerusi sejauh mana kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, penerimaan masyarakat terhadap semakan semula bajet persekutuan yang dijadual dibentang, pada 24 Feb, menjadi faktor penting memacu maklum balas rakyat kepada pentadbiran baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.