
Adun Tanah Rata, Ho Chi Yang, mendakwa beberapa pelajar universiti awam baru-baru ini, didenda kerana tidak mematuhi kod pakaian, termasuk mewarnakan rambut dan “memakai terlalu banyak subang”.
Beliau turut mendakwa, ada universiti lain juga mengkehendaki semua pelajar lelaki memakai tali leher dan kasut kulit ketika menduduki sebarang peperiksaan.
Ho, yang mengetuai biro hal ehwal universiti Pemuda DAP, berkata pihak universiti sepatutnya menumpukan kepada melahirkan pelajar berintelek dan inovatif, berbanding mematuhi kod pakaian.
Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri dan ahli Jemaah Menteri memilih tidak mengenakan tali leher, selain kod pakaian di Parlimen juga dilonggarkan.
“Apabila universiti melaksanakan kod pakaian yang ketat, ia bukan saja menekan kebebasan pelajar berpakaian, malah secara langsung dan tidak langsung menyekat kreativiti mereka.
“Bagi jangka masa panjang, sekatan seumpama ini menghalang pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia, yang mana perlu lebih berdasarkan kreativiti pelajar dan keberanian mencabar pemikiran semasa,” katanya dalam kenyataan.
FMT mendapatkan pandangan Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin mengenai perkara itu.