KPDN rancang beri insentif kepada pengusaha tawar Menu Rahmah

KPDN rancang beri insentif kepada pengusaha tawar Menu Rahmah

Pemberian insentif kepada pengusaha yang menyertai inisiatif itu masih pada peringkat awal dan bentuk pemberian insentif masih belum diputuskan, kata Fuziah Salleh.

Fuziah Salleh pada program Jalan Cari Makan Menu Rahmah di Nasi Kandar KM Maju (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membincangkan pemberian insentif kepada pengusaha kedai makan dan restoran yang menyediakan hidangan Menu Rahmah.

Bagaimanapun, perkara itu masih dalam peringkat awal dan bentuk pemberian insentif belum diputuskan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh apabila ditanya mengenai perkara itu.

“Setakat ini, kita belum umumkan insentif, tetapi perkara itu sedang dibincangkan, mungkin (contohnya) kedai mamak yang memerlukan pekerja untuk memasak, dari segi itu kita akan bantu untuk dapatkan tambahan pekerja.

“Kita belum meletakkan sebarang nilai fiskal dalam insentif itu,” katanya pada sidang media selepas program Jalan-Jalan Cari Makan Menu Rahmah di Nasi Kandar KM Maju di sini hari ini.

Fuziah berkata, KPDN juga bersedia untuk berunding dan membantu pengusaha yang ingin menyediakan Menu Rahmah dari segi mendapatkan bekalan bahan mentah.

Berhubung pengusaha kedai makan dan restoran yang mengehadkan waktu penjualan Menu Rahmah, Fuziah berkata, inisiatif itu disertai secara sukarela,namun diharapkan peniaga dapat menguar-uarkan waktu penjualan supaya pelanggan tidak kecewa apabila tidak dapat membelinya.

Terdahulu, pemilik Nasi Kandar KM Maju Mohd Faisul Kabeebu berkata, restorannya itu menyediakan dua set Menu Rahmah bernilai RM5 iaitu ikan atau ayam bersama nasi, sayur, kuah campur dan air suam.

Katanya, hidangan Menu Rahmah dijual bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.