Kenyataan ‘brain drain’ diambil luar konteks, kata Fadillah

Kenyataan ‘brain drain’ diambil luar konteks, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara masih boleh menyumbang kepada negara melalui tugas mereka.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata fenomena ‘brain drain’ memberi manfaat kepada negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kenyataannya baru-baru ini mengenai “brain drain” atau penghijrahan pakar diambil dari luar konteks.

“Saya tidak memperkecilkan isu ‘brain drain’, yang mana tajuk cerita itu seolah-olah membayangkannya,” katanya menjawab kritikan terhadap kenyataannya dalam laporan Bernama.

Beliau merujuk kepada laporan 8 Feb bertajuk “Fenomena ‘brain drain’ masih boleh beri manfaat kepada negara – Fadillah”.

“Sekiranya anda membaca laporan penuh, saya berkata antara faktor berlaku ‘brain drain’ dalam bidang penyelidikan adalah kerana terdapatnya fasiliti dan sistem sokongan yang lengkap di negara lain seperti Silicon Valley di AS,” katanya kepada FMT.

“Ini tidak bermakna rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak boleh menyumbang kepada Malaysia melalui tugas mereka. Ia memberi manfaat kepada negara. Itu maksud saya.”

Pada masa sama, katanya, kerajaan sentiasa mencari kaedah mengekalkan bakat dan menarik rakyat Malaysia di luar negara kembali ke tanah air dan bekerja.

Ini termasuk pelbagai insentif dan pembangunan ekosistem tempatan dalam pelbagai bidang.

Tahun lalu, badan pemikir Emir Research menganggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia menetap dan bekerja di luar negara, terdiri kira-kira 500,000 orang berkemahiran tinggi berumur 25 tahun ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.