Kelengkapan belum sampai, pasukan SAR Malaysia tak dapat masuk ‘ground zero’

Kelengkapan belum sampai, pasukan SAR Malaysia tak dapat masuk ‘ground zero’

Keperluan peribadi anggota terlibat dari Kuala Lumpur juga belum sampai sepenuhnya di Lapangan Terbang Gaziantep, Turki.

Masalah barangan kelengkapan belum tiba di Lapangan Terbang Gaziantep dikatakan berlaku mungkin disebabkan banyak agensi SAR dari negara luar tiba serentak di Turki. (Gamnbar Bernama)

GAZIANTEP (Turki): Pasukan penyelamat kedua dihantar Malaysia bagi membantu kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turki (MAS-10) yang tiba di Gaziantep pada petang Khamis, masih tidak dapat memasuki kawasan “ground zero” akibat masalah logistik.

Kekangan itu disebabkan barangan kelengkapan operasi SAR dan keperluan peribadi anggota terlibat dari Kuala Lumpur tidak sampai sepenuhnya di Lapangan Terbang Gaziantep walaupun pasukan misi telah tiba pada 5.50 petang Khamis (waktu tempatan).

Ketua pasukan MAS-10 Abdul Manaf Che Isa berkata, masalah berkenaan kemungkinan terjadi berikutan banyak agensi SAR dari negara luar tiba di Turki pada hari sama.

“Tapi Alhamdulillah, setakat pukul 9.40 malam ini (waktu tempatan) 70% barangan kita sudah sampai, termasuk dua anjing pengesan, iaitu Denti dan Frankie yang berada dalam keadaan baik,” katanya kepada Bernama dan RTM.

Abdul Manaf berkata, pasukannya akan bergerak ke Nurdagi, kira-kira 45km di barat Gaziantep, yang merupakan lokasi ditetapkan agensi bantuan bencana tempatan, sebaik semua barangan keperluan diperoleh.

Pasukan MAS-10, bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota bomba serta 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), berlepas dari Kuala Lumpur pada Rabu malam dan tiba di Istanbul pada 6 pagi Khamis.

Turut menyertai pasukan berkenaan adalah dua petugas Bernama dan seorang petugas RTM.

Pemerhatian Bernama di Lapangan Terbang Gaziantep mendapati banyak agensi SAR luar negara yang tiba, antaranya dari China, Tajikistan dan Rusia.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turki dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.

Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Pada Selasa, Turki mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa, bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.