Jendela fasa 2 dijangka mula suku pertama 2023

Jendela fasa 2 dijangka mula suku pertama 2023

SKMM terlebih dahulu perlu membentangkan sasaran dan perkara berkaitan fasa kedua itu serta menunggu ‘lampu hijau’ Kementerian Komunikasi dan Digital.

Jendela fasa pertama selesai pada Disember 2022 dengan liputan 4G mencapai 96.92%. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa kedua (2023-2025) dijangka bermula suku pertama 2023, kata Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, SKMM terlebih dahulu perlu membentangkan sasaran dan perkara berkaitan fasa kedua itu serta menunggu “lampu hijau” Kementerian Komunikasi dan Digital berhubung pelaksanaan itu.

“Kita boleh cuba lakukan yang terbaik bermula dari awal. Kita akan bentang di kementerian, bila kita ada ‘persetujuan’ daripada menteri, barulah kita boleh mulakan,” katanya kepada Bernama dan RTM mengenai status Jendela fasa kedua selepas menyempurnakan Majlis Penutup “Accelerated Leadership Program (ALP) Series Cohort 1″.

“Sasaran fasa kedua ialah melengkapkan kesalinghubungan bagi baki 3% penduduk dalam komuniti. Ia merupakan kawasan paling mencabar, iaitu di pedalaman dan terpencil, termasuk perkampungan Orang Asli.”

Menurutnya, Jendela fasa pertama yang selesai pada Disember 2022 mencapai liputan 4G 96.92%, manakala dari segi kelajuan, ia mencapai 77 megabit sesaat (Mbps) berbanding sasaran awal 35Mbps.

Mengenai ALP yang julung kali diadakan, beliau berkata, ia merupakan kolaborasi strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia dengan 39 kakitangan SKMM menamatkan program yang bermula 2020 hingga 2022.

Program itu ditaja sepenuhnya SKMM bagi pembangunan kepimpinan, khusus untuk kakitangan dari kumpulan eksekutif senior dan junior, berdasarkan model kecekapan tingkah laku dan ciri kepimpinan digital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.