
Dalam kenyataan berasingan, Bank Negara (BNM) berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 7% pada suku keempat 2022 (S4 2022) berbanding 14.2% pada S3 2022 berikutan sokongan daripada langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurangan.
Bank pusat berkata aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku keempat, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.
“Penggunaan swasta yang terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik,” katanya.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, BNM berkata ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.6% berbanding 1.9% pada S3 2022.
Sementara itu mengulas mengenai prestasi KDNK tahun penuh, DoSM berkata sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan dua digit 10.9% pada 2022 diikuti oleh sektor pembuatan (+8.1%) dan perlombongan serta pengkuarian (+3.4%).
“Tambahan pula, sektor pembinaan dan pertanian kembali pulih pada tahun 2022 dengan pertumbuhan masing-masing 5.0% dan 0.1% selepas kedua-dua sektor ini mencatatkan penurunan selama dua tahun berturut-turut,” katanya.
DoSM berkata, pada 2022, tahap ekonomi telah bertambah baik dan melepasi paras 2019 dengan peningkatan 5.9% disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan (6.9%) dan pembuatan (15.3%).
Sementara itu, pendapatan negara kasar per kapita menokok kepada RM52,819 daripada RM46,163 tahun sebelumnya.
Berkenaan dengan tinjauan bagi tahun 2023 pula, BNM berkata ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana berikutan persekitaran luaran yang mencabar dengan permintaan dalam negeri akan terus memacu pertumbuhan, disokong oleh pasaran pekerja yang terus pulih dan pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun.
“Sektor perkhidmatan dan perkilangan juga akan terus menyokong pertumbuhan,” katanya.
BNM turut menambah pengurangan eksport berikutan permintaan global yang lebih lemah sebahagiannya akan diimbangi oleh aktiviti pelancongan yang lebih giat.
“Dalam pada itu, imbangan risiko kekal cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan. Hal ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan global yang lebih lemah, keadaan kewangan yang lebih ketat, konflik geopolitik yang kembali meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk,” katanya.