
“Tidak, tiada perbincangan mengenainya,” kata timbalan presiden PKR itu kepada pemberita di luar sebuah acara.
Menteri itu ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk meletakkan SPRM bawah Parlimen selepas Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, menuduh Putrajaya menggunakan agensi anti-rasuah itu sebagai alat politik.
Selepas SPRM membekukan akaun Bersatu baru-baru ini, Hamzah mendakwa, tindakan itu bertujuan memusnahkan kredibiliti parti dan Perikatan Nasional (PN).
Pada November, Rafizi membidas SPRM kerana menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd. Semasa berkempen untuk PRU15, beliau dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan “mencari” Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berhubung dakwaan “penganiayaan politik”.
Beliau juga mendakwa serbuan SPRM ketika itu dijalankan mengikut arahan Barisan Nasional (BN) untuk menghalangnya daripada membuat kemunculan semula di Parlimen pada PRU15.
Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, dan kumpulan masyarakat sivil sebelum ini turut menggesa SPRM diletakkan bawah Parlimen bagi memastikan akauntabiliti lebih baik.