Tertekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar

Tertekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar

Dua lelaki berusia 22 dan 27 tahun yang berada dalam bilik mengajar itu cedera di kaki dan belakang badan akibat rempuhan.

Keadaan kelas mengajar di Akademi Memandu Nilai yang dirempuh seorang pelajar yang memandu kereta sekolah memandu itu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar sekolah memandu tersalah menekan pedal minyak kereta sehingga merempuh sebuah bilik mengajar di premis itu dalam kejadian di Pajam dekat Seremban pagi tadi.

Pelajar lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan kurang sihat ketika kejadian.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Effendi Rahmat, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian di Akademi Memandu Nilai pada 10.33 pagi.

“Setibanya di lokasi kami mendapati sebuah kereta sekolah memandu jenis Perodua Axia melanggar sebuah bilik mengajar di situ.

“Pelajar sekolah memandu iaitu lelaki berusia 26 tahun dan pengajar yang juga lelaki berusia 65 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya menurut Kosmo.

Effendi berkata, bagaimanapun dua lelaki berusia 22 dan 27 tahun yang berada dalam bilik itu cedera di kaki dan belakang badan akibat rempuhan.

Katanya, mangsa cedera diserahkan kepada petugas kesihatan yang kemudian membawa mereka ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.