Siasatan terhadap MAINS selesai pada 2019, tiada unsur rasuah, kata SPRM

Siasatan terhadap MAINS selesai pada 2019, tiada unsur rasuah, kata SPRM

SPRM Negeri Sembilan memaklumkan, siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat itu dimulakan pada 2019 dan selesai pada tahun sama.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan pecah amanah mengaitkan beberapa pegawai MAINS membabitkan jutaan ringgit kutipan zakat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mendapati tidak wujud sebarang unsur jenayah rasuah mengikut Akta SPRM berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

Pengarah Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata kertas siasatan berhubung isu berkenaan dibuka pada 2019 dan siasatan selesai pada tahun sama.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, semalam dilaporkan meminta SPRM dan polis memaklumkan sekiranya ada tindakan diambil berhubung perkara itu.

Katanya, beliau tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak lagi berada dalam MAINS.

“Saya rasa SPRM dan polis masih menjalankan siasatan, jadi kita serah kepada pihak yang menyiasat kes itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan pecah amanah mengaitkan beberapa pegawai MAINS membabitkan jutaan ringgit kutipan zakat.

SPRM dilaporkan sudah menerima maklumat berhubung dakwaan itu tetapi tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

Awgkok menggesa sebarang spekulasi dan penyebaran berita palsu berhubung perkara itu dihentikan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu yang diterima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.