MBPP digesa henti roboh rumah kedai dibina sebelum perang

MBPP digesa henti roboh rumah kedai dibina sebelum perang

Tindakan berterusan merobohkan bangunan warisan boleh menyebabkan George Town kehilangan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, kata aktivis.

Rumah-rumah kedai yang dibina sebelum perang di Lorong Kinta, George Town, dijangka akan dirobohkan untuk memberikan laluan kepada pembinaan baharu.
GEORGE TOWN:
Sebuah kumpulan pemuliharaan warisan menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyekat perobohan empat lot rumah kedai yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua di Lorong Kinta.

Semakan FMT mendapati pemaju memohon kebenaran merancang dan sedang menunggu kelulusan. Rancangannya adalah merobohkan rumah-rumah kedai berkenaan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel sembilan tingkat.

Clement Liang daripada Penang Heritage Trust berkata, rumah kedai itu penting dari segi gaya seni binanya, yang menandakan zaman ketika seni bina gaya Art Deco popular di negeri ini.

Rumah-rumah kedai itu dibina menggunakan plaster Shanghai, sejenis plaster simen granolitik yang muncul di Hong Kong pada pertengahan 1920-an, dan Liang menyifatkannya sebagai contoh terbaik bangunan Art Deco yang diubah suai untuk disesuaikan dengan iklim tropika.

Beliau berkata, tidak banyak bangunan seperti itu yang masih berdiri di negara ini dan Pulau Pinang akan “kehilangan sebahagian daripada rekod fizikal negeri itu yang indah”.

Katanya, rumah-rumah kedai itu patut dipelihara kerana ia boleh menjadi tarikan pelancong.

Sebagai alternatif, katanya, ia boleh digunakan semula sebagai pejabat, hotel atau kediaman persendirian melalui penyesuaian semula reka bentuk oleh arkitek yang memahami kepentingan memelihara estetika dan ciri-ciri bangunan asal, sebagai daya penarik.

Liang memberi amaran bahawa perobohan berterusan rumah kedai yang dibina sebelum perang dan pembinaan “bangunan tinggi moden yang tidak sesuai dan menindas” boleh menyebabkan George Town kehilangan status Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Semua bangunan lama ini menceritakan kisah silam kita dan membentuk George Town menjadi bandar bersejarah yang kita banggakan,” katanya.

“Kita masih boleh mempunyai projek pembangunan bertingkat tinggi baharu di Pulau Pinang, tetapi kita boleh memilih untuk membinanya di kawasan yang tidak menjejaskan tapak warisan dan mengelak membawa lebih banyak trafik ke bandar.”

Aktivis warisan, Mark Lay, berkata kerentanan rumah kedai kepada perobohan menyerlahkan perbezaan antara apa yang diperkatakan oleh kerajaan negeri dengan realiti di lapangan.

Beliau mendakwa, kenyataan pegawai negeri mengenai dedikasi mereka terhadap menjaga warisan dan tradisi budaya Pulau Pinang sekadar kata-kata untuk liputan media.

Lay juga berkata ramai pemilik bangunan warisan dalam era pasca-Covid “teruja” dengan prospek merobohkan bangunan warisan dan menggantikannya dengan kondominium bertingkat tinggi.

“Kami bimbang perkara ini akan berlaku pada kadar yang lebih pantas melainkan kita membanterasnya segera,” katanya.

“Majlis bandar raya nampaknya mungkin telah membuat janji kosong kepada Unesco.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.