Siasatan nahas MH17 ditamatkan

Siasatan nahas MH17 ditamatkan

Penyiasat membuat keputusan itu walaupun ada bukti mencadangkan penglibatan Presiden Rusia Vladimir Putin.

MH17 ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan kematian 298 penumpang dan anak kapal. (Gambar Reuters)
THE HAGUE:
Pendakwa antarabangsa menemui bukti yang secara kukuh mencadangkan Presiden Rusia Vladimir Putin telah meluluskan penggunaan sistem peluru berpandu yang menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Bagaimanapun, mereka berkata bukti penglibatan Putin dan pegawai Rusia lain tidak cukup kukuh untuk membawa kepada sabitan jenayah, seterusnya mereka menamatkan siasatan tanpa sebarang pendakwaan lanjut.

Rusia menafikan sebarang pembabitan dalam nahas MH17 itu yang meragut 298 nyawa penumpang dan anak kapal.

“Siasatan kini sampai penghujungnya,” kata pendakwa Digna van Boetzelaer dalam satu sidang media.

“Dapatannya tidak mencukupi untuk membawa kepada pendakwaan suspek baharu.”

Pada Nov, mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Rusia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine atas tuduhan bunuh, kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu Rusia yang digunakan untuk menembak pesawat itu, menyebabkan kematian 298 penumpang dan anak kapal.

Tiga lelaki itu yang dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran mereka) masih bebas.

Ketika pesawat itu ditembak, tentera Ukraine melawan kumpulan pemisah disokong Rusia di Donetsk.

Piet Ploeg yang mengetuai yayasan mewakili mangsa menyuarakan rasa kecewa kerana siasatan itu telah berakhir, namun bersyukur pendakwaan menyebut bukti mengenai pembabitan Putin.

“Tidak banyak yang dapat dilakukan, Putin tidak boleh didakwa,” katanya.

“Kami mahu mengetahui siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dan itu telah diperjelaskan.”

Abang Ploeg maut dalam kejadian itu bersama isteri dan anak lelaki mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.