Khidmat LRT antara stesen Bandaraya, Masjid Jamek tergendala

Khidmat LRT antara stesen Bandaraya, Masjid Jamek tergendala

Penumpang dari stesen Masjid Jamek menuju Putra Heights terpaksa menukar tren di stesen Hang Tuah.

Loke Siew Fook (bertopi) meninjau keadaan di stesen LRT Bandaraya yang mengalami gangguan petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perkhidmatan LRT Laluan Ampang antara stesen Bandaraya dan Masjid Jamek tergendala petang tadi, seminggu selepas menteri pengangkutan memberi amaran penumpang patut menjangkakan kejadian sedemikian.

Loke Siew Fook dalam catatan di Facebook memaklumkan gangguan itu akibat kerosakan struktur jejambat landasan LRT.

Susulan itu, penumpang dari stesen menuju Putra Heights terpaksa menukar tren di stesen Hang Tuah yang menyebabkan kesesakan di beberapa stesen.

“Pihak pengurusan Prasarana mengerah ramai kakitangan Rapid Rail dan Rapid KL untuk membantu ‘crowd control’ di stesen-stesen tersebut dan menyediakan banyak bas perantara sebagai langkah mitigasi sementara.”

Loke berkata, walaupun keadaan sesak semasa waktu puncak, namun ia agak terkawal.

Beliau yang berada di lokasi untuk memantau keadaan, memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan itu dan memaklumkan kerja pembaikan akan dipercepatkan.

Pada 1 Feb lalu, Loke dilaporkan berkata, gangguan akan berlaku di LRT Laluan Ampang antara dua stesen dan bas perantara akan disediakan di stesen Masjid Jamek untuk membawa penumpang ke stesen seterusnya.

Ini bukan kali pertama perkhidmatan di LRT Laluan Ampang mengalami gangguan. Pada 27 Jan lalu, “penjajaran landasan bengkok” dekat stesen Bandaraya menyebabkan kelewatan.

Perkhidmatan LRT berdepan gangguan sejak beberapa bulan lalu, yang turut menyebabkan penutupan 16 stesen di laluan Kelana Jaya susulan pelbagai kegagalan.

KLIA Ekspres, KLIA Transit sambung perkhidmatan

KLIA Ekspres dan KLIA Transit, perkhidmatan tren yang membawa penumpang dari KL Sentral ke KLIA dan klia2, disambung sejam selepas tergendala selama sejam.

KLIA Ekspres dalam Twitter berkata, perkhidmatan tren kembali beroperasi mengikut jadual.

“Penumpang boleh menghubungi [email protected] untuk bantuan bayaran balik atau penggantian tiket.”

Terdahulu, pengguna Facebook Shahrin Lhorat memaklumkan stesen KL Sentral sesak akibat penumpang terpaksa beratur panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.