Fokus Adun PAS pada pakaian wanita dipersoal, kenyataan ‘jijik’ dibidas

Fokus Adun PAS pada pakaian wanita dipersoal, kenyataan ‘jijik’ dibidas

Pemimpin PAS seharusnya memberi teguran dengan menumpukan kepada tanggungjawab dan amanah pihak polis untuk menerima laporan tanpa diskriminasi, kata Kasthuri Patto.

Kasthuri Patto mengecam komen AJK PAS Pusat Dr Azman Ibrahim yang menurutnya, memperkecilkan kedudukan dan martabat wanita di Malaysia.
PETALING JAYA:
Fokus wakil rakyat PAS susulan kes seorang wanita dilarang memasuki balai polis kerana berseluar pendek menjadi persoalan, ekoran kenyataan seorang pemimpin parti itu mengenai pakaian ketika orang ramai bercakap mengenai tanggungjawab pihak berkuasa.

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, berkata beliau berasa ‘jijik’ dengan komen Adun Jabi, Azman Ibrahim, kerana berkata wanita harus “dibungkus comel dan kemas”.

Kasthuri berkata pemimpin PAS “sepatutnya fokus terhadap tanggungjawab pihak polis untuk terima laporan daripada sesiapa pun tanpa melihat pakaian mereka, terutama sekali selepas kejadian kemalangan.”

Baru-baru ini, seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan dihalang masuk Balai Polis Kajang untuk membuat laporan kerana pakaiannya.

Wanita itu mendakwa mengenakan seluar Bermuda menutup lutut. Bagaimanapun, polis Kajang menegaskan seluar dipakainya di atas paras lutut.

Isu tersebut menarik perhatian bekas ketua polis negara, Musa Hassan, yang berkata polis tidak boleh menghalang seseorang membuat laporan hanya kerana pakaian pengadu.

Susulan komen bungkus comel dan kemas itu, Azman dikecam di media sosial kerana menyamakan wanita dengan ‘barang’. Ahli jawatankuasa PAS pusat itu mempertahankan kenyataannya, menegaskan ia hanyalah peribahasa dan analogi.

“Sudah masuk 2023, mahu lihat Malaysia kembali sebagai ‘Harimau Asia’ tetapi apabila pemikiran mereka ini terperangkap dalam zaman batu, mana mungkin negara akan maju?” kata Kasthuri.

Beliau turut khuatir fokus pemimpin PAS dalam kes jenayah seksual dan penganiayaan membabitkan wanita.

“Adakah kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual, atau warga emas yang dianiaya juga dikategorikan sebagai ‘barang’?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.