Fathul Bari cabar Azlan Man jawatan ketua Umno Kangar

Fathul Bari cabar Azlan Man jawatan ketua Umno Kangar

Fathul Bari Mat Jahya juga pertimbang tawar diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Fathul Bari Mat Jahya menawarkan diri bertanding jawatan ketua Umno Kangar yang kini disandang bekas menteri besar Perlis Azlan Man pada pemilihan parti.
PETALING JAYA:
Fathul Bari Mat Jahya menawarkan diri sebagai pencabar bekas menteri besar Perlis, Azlan Man, bagi jawatan ketua Umno Kangar pada pemilihan parti itu.

Fathul, yang juga timbalan ketua Umno Kangar, berkata beliau mempunyai rancangan untuk kebangkitan semula parti itu susulan kekalahan teruk di Perlis pada PRU lepas, jika diberi peluang mengetuai bahagian itu.

“Kita mahu memastikan Umno kembali bangkit dalam keadaan terhormat dan lebih kuat dalam mendepani PRU16 yang dilihat lebih mencabar.

“Tanpa hilang sedikit pun rasa hormat terhadap pemimpin sedia ada selain sebagai respons menghormati demokrasi di dalam parti yang membuka ruang untuk pertandingan, saya menawarkan diri bertanding jawatan ketua Umno bahagian Kangar,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Azlan yang juga ketua Umno Perlis dijangka mempertahankan jawatannya di Kangar walaupun belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Umno akan mengadakan pemilihan parti di semua peringkat bermula 1 Feb hingga 18 Mac.

Pemilihan parti itu membabitkan 22,000 cawangan serta 191 bahagian Umno, termasuk bahagian yang digantung.

Pada PRU15, Umno dan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama hilang penguasaan kerajaan negeri, selain gagal memenangi walau satu kerusi. BN kalah semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen.

Ketika ditanya sama ada sedia bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, Fathul Bari berkata, beliau masih membuat pertimbangan mengenai perkara itu.

“Saya akan mengambil sedikit masa lagi sebelum membuat keputusan meskipun mendapat galakan dan sokongan pelbagai pihak bertanding jawatan berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.