Bil elektrik melambung 30%, hotel, peruncit tuntut moratorium

Bil elektrik melambung 30%, hotel, peruncit tuntut moratorium

Tujuh pertubuhan menggesa tarif baharu elektrik ditangguhkan hingga hujung tahun ini.

Tahun lalu peruncit menggesa Putrajaya menghentikan surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna komersial dan industri atau mereka tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga.
PETALING JAYA:
Operasi hotel, taman tema, pusat beli-belah, dan peruncit menyaksikan peningkatan 20% hingga 30% bil elektrik susulan langkah mengenakan surcaj 3.7sen/kWj kepada pengguna bukan domestik.

Tujuh pertubuhan peniaga dalam kenyataan bersama berkata peningkatan itu ketara berbanding tahun sebelumnya, melibatkan penggunaan jumlah tenaga sama.

Peningkatan mendadak bil tenaga dikatakan tidak adil memandangkan sektor terbabit antara paling terkesan akibat pandemik Covid-19, selain perlu mematuhi pembayaran gaji minimum RM1,500.

“Justeru, kami secara ikhlas menggesa kerajaan menyediakan moratorium bagi tarif elektrik baharu ini kepada semua pengguna komersial hingga hujung 2023 demi memberi tempoh untuk kembali pulih.

“Tekanan berterusan terhadap perniagaan ketika Malaysia sedang merancakkan pelancongan menjejaskan kami kerana sukar beroperasi secara cekap.

“Kami berharap mendapat maklum balas menggalakkan tidak lama lagi dan sentiasa terbuka berunding bersama pihak kementerian demi kebaikan industri,” katanya.

Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho) menandatangani kenyataan itu.

Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga berkata kos elektrik meningkat 45% kesan pertambahan harga arang batu, di mana Semenanjung bergantung tinggi kepada sumber itu.

Pada Mac tahun lalu, peruncit menggesa Putrajaya menghentikan surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna komersial dan industri bermula 1 Feb 2022, kegagalan mengambil tindakan itu memaksa kos itu dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menaikkan harga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.