Polis kesan individu bergaduh dalam video tular di Ipoh

Polis kesan individu bergaduh dalam video tular di Ipoh

Polis berkata, kejadian rusuhan di luar sebuah bangunan itu berlaku pada malam kelmarin sebelum tular di media sosial.

Sedutan video menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di luar sebuah bangunan di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh, Perak.
PETALING JAYA:
Polis mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kekecohan di luar sebuah bangunan di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh, Perak yang video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, kejadian yang tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook itu dipercayai berlaku pada malam kelmarin.

Beliau berkata, satu laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Kita sedang mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga diminta tampil bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 23 saat yang memaparkan sekumpulan individu bergaduh di luar bangunan Seri Kinta di Jalan Sultan Idris Shah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.