
Hakim Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membatalkan dengan kos terhadap petisyen pilihan raya difailkan Abdul Hakim Abdul Wahid bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati.
Ketika membuat keputusan itu berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hakim berkata mahkamah menerima dua daripada empat isu dibangkitkan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut Seksyen 38 akta sama.
Menurut Berita Harian, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah, termasuk bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.
Pada 3 Januari lalu, Hakim memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.
Pada PRU15, Mas Ermieyati berjaya mempertahankan Parlimen Masjid Tanah selepas menang majoriti 4,411 undi dalam saingan empat penjuru.
Beliau meraih 25,604 undi menewaskan Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi, Mutalib Uthman daripada Muda (7,445 undi), manakala Handrawirawan Abu Bakar dari Pejuang, hilang deposit selepas sekadar meraih 507 undi.