
ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang, berkata pemansuhan Auku langkah penting ke arah mencapai hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin, memperkasa kesatuan pelajar.
Beliau turut menggesa pelaksanaan proses demokratik dalam pelantikan naib canselor, ahli lembaga pengarah, dan dekan fakulti bagi mempromosi demokrasi di kampus.
“Walaupun pemerkasaan kesatuan dan organisasi pelajar penting, pengurusan tertinggi universiti berkemungkinan tunduk kepada ahli politik sekiranya mereka tidak dilantik secara demokratik.
“Sejak kerajaan Barisan Nasional ketika itu melaksanakan Auku pada 1971, ramai pelajar, malah ahli akademik yang berani bersuara mempersoal pihak berkuasa dikenakan hukuman.
“Kesannya, ketakutan yang diterap undang-undang drakonian berdekad lamanya itu telah menjejaskan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Ketua biro hal ehwal universiti Pemuda DAP itu menegaskan Auku tidak sejajar dengan aspirasi kerajaan hari ini untuk merombak sistem pendidikan tinggi kebangsaan, maka Putrajaya mesti menghapuskan akta itu.
Ho berkata melindungi universiti daripada campur tangan politik memberikan ruang selamat kepada pihak pengurusan, ahli akademik, dan pelajar menggunakan ilmu dan kemahiran untuk mengkritik dan memberi maklum balas mengenai dasar kerajaan.
Dalam manifesto bagi PRU15, Pemuda Pakatan Harapan (PH) berikrar memansuhkan Auku. Ikrar itu juga terkandung dalam manifesto PH pada PRU14.
Sebelum ini, bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, berkata jawatankuasa kerja mengenai pemansuhan Auku sudah dibentuk dan ditugaskan menyediakan draf bagi akta baharu menggabungkan Auku dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.
Bagaimanapun, inisiatif itu terhenti susulan kejatuhan kerajaan PH pada 2020 dengan penggantinya ketika itu, Noraini Ahmad, berkata kerajaan Perikatan Nasional tidak melihat keperluan menggantikan dua akta berkenaan.