
Menteri pengangkutan itu berkata, di bawah projek MRT2 (Laluan Putrajaya), stesen pertukaran di Titiwangsa, antara 10 stesen pertukaran di laluan itu, akan menjadi stesen utama.
Ketika ini, stesen Titiwangsa menjadi stesen pertukaran untuk monorel dan laluan LRT Ampang.
Kata Loke, apabila projek MRT2 siap sepenuhnya, stesen Titiwangsa akan memiliki tiga mod pengangkutan.
Tambahnya, projek MRT3 juga akan mempunyai sebuah stesen di Titiwangsa dan sebuah stesen bas.
“Kawasan ini adalah hab pengangkutan awam dan ada rancangan untuk membangunkan kawasan ini,” katanya kepada wartawan selepas lawatan kerja di MRT laluan Putrajaya hari ini.
Beliau berkata tapak yang dikenal pasti itu milik MRT Corp yang akan bertanggungjawab membangunkan projek tersebut termasuk urusan perolehan dan tender.
Kawasan pembangunan itu adalah bekas tapak Flat Pekeliling yang dirobohkan untuk melaksanakan pembinaan tersebut berkonsepkan stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD).
“Sudah pasti kami akan berbincang pendekatan untuk projek itu (pembangunan hab pengangkutan). Tetapi dasar kerajaan ketika ini mestilah ada tender,” katanya yang menambah kementeriannya menunggu kelulusan projek dan penganugerahan tender daripada Kementerian Kewangan.
Jika boleh, kata Loke, hab pengangkutan awam itu dibina sebelum projek pembinaan MRT3 siap.