Gempa bumi Turki : MAHB bantu mudah cara operasi SAR

Gempa bumi Turki : MAHB bantu mudah cara operasi SAR

MAHB turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memberikan bantuan tambahan dengan menyediakan penginapan transit kepada anggota SMART.

Dua gempa kuat yang melanda selatan Turki dan Syria menyebabkan lebih 1,300 penduduk maut dan ribuan lagi cedera. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) komited memudah cara penerbangan penyelamatan dan operasi kargo yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW) susulan gempa bumi dahsyat yang melanda tenggara Turki, awal pagi Isnin.

MAHB merupakan operator lapangan terbang tersebut.

Pengarah Urusan Iskandar Mizal Mahmood berkata MAHB bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memberikan bantuan tambahan dengan menyediakan penginapan transit kepada 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di hotel di lapangan terbang itu, sebelum digerakkan ke kawasan terjejas.

“Penerbangan penyelamatan pertama berlepas 8.41 pagi waktu tempatan dan sehingga kini, enam penerbangan serupa sudah berlepas dari lapangan terbang berkenaan membawa 1,400 anggota penyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata SAW satu daripada dua lapangan terbang yang ditetapkan oleh kerajaan Turki sebagai hab penyelamat dan logistik, di mana ketika ini terminal penerbangan am digunakan sebagai pusat pengurusan krisis dengan menyediakan sokongan yang diperlukan termasuk makanan untuk pasukan penyelamat.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turki berhampiran bandar Gaziantep meragut 912 nyawa di Turki, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.