Gempa bumi Turki, doktor Malaysia terus kental rawat mangsa di Gaziantep

Gempa bumi Turki, doktor Malaysia terus kental rawat mangsa di Gaziantep

Syazwan Abu Bakar, 34, bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep memaklumkan ramai mangsa gempa bumi mengalami kecederaan serius.

Sekurang-kurangnya 2,379 mangsa terbunuh dan 14,483 lagi cedera selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turki, pada awal pagi Isnin. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
“Ramai mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki, ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa.”

Itu situasi diceritakan doktor warga Malaysia, Syazwan Abu Bakar yang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 melanda selatan Turki, awal pagi Isnin.

Doktor am berkenaan memberitahu, beliau dan petugas lain terpaksa berlari keluar dari hospital menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku yang turut menyebabkan bangunan berkenaan mengalami keretakan.

“Ketika gempa pertama berlaku kira-kira 4.30 pagi saya ‘on-call’ dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.

“Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin malam (waktu Malaysia).

Syazwan, 34, berkata beliau mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka turut bertugas sebagai doktor.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai keadaan mereka berikutan kesibukan merawat mangsa cedera.

“Pagi tadi (Isnin) ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk, saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini,” katanya.

Syazwan yang tinggal seorang diri di Gaziantep, berkata beliau tidak dapat pulang ke rumah berikutan bangunan berkenaan juga mengalami keretakan dan berkemungkinan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Keluarganya pula menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep.

“Rumah keluarga saya di sana juga retak jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat,” katanya.

Sekurang-kurangnya 2,379 mangsa terbunuh dan 14,483 lagi cedera selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turki, pada awal pagi Isnin.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud berpusat di daerah Pazarcik itu menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan menjejaskan beberapa wilayah lain, termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.

Ia diikuti dengan gempa bumi bermagnitud 7.6 pada 13.24 tengah hari yang turut berpusat di Kahramanmaras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.