Semak semula fatwa khatan perempuan, Putrajaya diberitahu

Semak semula fatwa khatan perempuan, Putrajaya diberitahu

Sisters in Islam berkata negara Islam lain seperti Mesir dan Indonesia menyatakan amalan itu memudaratkan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Jakim pada 2009 mengeluarkan fatwa berkhatan bagi perempuan adalah wajib. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengarahkan semakan ke atas fatwa pada 2009 mengenai berkhatan bagi perempuan.

Pegawai Komunikasi Sisters in Islam (SIS), Aleza Othman, memberitahu FMT berkata, negara Islam lain termasuk Mesir dan Indonesia sudah mengeluarkan fatwa mengatakan mutilasi alat kelamin perempuan memudaratkan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Katanya, tiada dapatan kukuh dan sahih al-Quran atau sunnah bagi amalan sedemikian.

Aleza mengakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jawatankuasa Muzakarah menjadi cabaran utama dalam usaha menghapuskan amalan itu.

“Kebanyakkan pengamal perubatan melakukan khitan bagi kepada bayi di klinik dan hospital tidak mendapat latihan formal. Mereka belajar prosedur itu daripada ‘senior’ yang belajar daripada ‘senior’ sebelumnya.

“Amalan menurunkan ilmu itu tanpa latihan perubatan formal boleh mendatangkan mudarat,” katanya.

Kumpulan aktivis lain, Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia, berkata tiada bukti berkhatan bagi perempuan mempunyai sebarang manfaat kesihatan.

Presidennya, Dr Subatra Jayaraj, berkata mutilasi genitalia perempuan berakar umbi dari tradisi dan merupakan amalan patriarki.

Pakar kesihatan antarabangsa berkata berkhitan bagi perempuan mampu menyebabkan risiko kesihatan segera dan jangka panjang kesan pendarahan berlebihan dan masalah urinari, selain membawa kepada risiko tinggi komplikasi ketika bersalin.

Bagaimanapun, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), berkata adalah penting menjamin keselamatan prosedur, berbanding melarang amalan itu.

“Ia tidak menjejaskan fizikal atau kesihatan mental mereka, atau psikologi. Justeru, penting memastikan prosedur adalah selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada mereka,” kata Naib Presiden Abim, Fatin Nur Majdina Nordin.

Katanya, menjadi hak ibu bapa memutuskan bersandarkan alasan agama sekiranya mereka mahu membenarkan anak perempuan mereka berkhatan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemotongan alat kelamin perempuan ditamatkan menjelang 2030 dan mengisytiharkan 6 Feb sebagai Hari Antarabangsa Toleransi Sifar Mutilasi Alat Kelamin Perempuan.

Katanya, sejak 25 tahun lalu, amalan mutilasi alat kelamin perempuan lazimnya menurun di peringkat antarabangsa.

Amalan itu banyak dilakukan di 30 negara di Afrika dan Timur Tengah, namun ada juga diamalkan di beberapa negara Asia dan Amerika Selatan, selain dalam kalangan komuniti imigran di negara Barat, kata PBB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.