Potong peruntukan pembangunan, sektor swasta disaran bantu Ahli Parlimen

Potong peruntukan pembangunan, sektor swasta disaran bantu Ahli Parlimen

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, langkah membantu Ahli Parlimen tidak boleh dijadikan alasan untuk sektor swasta mendapatkan timbal balas.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan tahun ini sebagai langkah penjimatan kewangan negara. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyarankan sektor swasta membantu Ahli Parlimen bagi merancakkan pembangunan dan pendidikan di kawasan masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kerjasama itu perlu susulan pengurangan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Bagaimanapun katanya, langkah membantu Ahli Parlimen tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka mendapatkan timbal balas “secara sesuka hati”.

“Semalam dah sebut, pada waktu ini mungkin ramai di kalangan Ahli Parlimen kita perlu memaksimakan sumber yang ada, termasuk peruntukan Ahli Parlimen.

“Banyak saya lihat sama ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan), korporat juga boleh memainkan peranan untuk bantu dari segi CSR untuk sediakan apa-apa keperluan penduduk yang boleh disantuni,” katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di Bangsar.

Fahmi mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Alexander Nanta Linggi yang bimbang pengurangan peruntukan itu akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan, terutama di kawasan pedalaman.

Beliau dilaporkan berkata, peruntukan terhad itu memberi cabaran besar kepadanya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan menambah baik infrastruktur rakyat.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan tahun ini sebagai langkah penjimatan kewangan negara, tetapi kerajaan akan mempertimbangkan penambahan dana jika terdapat keperluan mendesak di kawasan tertentu.

Mengulas lanjut, Fahmi memberi contoh kawasan Parlimennya, di mana tidak sukar untuk beliau mendapatkan sokongan pihak swasta kerana ia sering dilakukan.

“Alhamdulillah Lembah Pantai bernasib baik, ada banyak syarikat yang prihatin turun menyantuni, bukan saja di musim perayaan, tapi membantu pelajar di kawasan yang perlu diberi fokus.

“Maka, saya percaya ada perkara boleh diikhtiarkan. Jalin kerjasama erat antara syarikat yang mungkin mempunyai keuntungan lebih boleh dipertimbangkan. Mereka boleh membantu CSR di kawasan memerlukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.