Memang ada anggota ‘makan suap’, kata pengarah APMM Kuala Perlis

Memang ada anggota ‘makan suap’, kata pengarah APMM Kuala Perlis

Pengarah APMM Kuala Perlis Mohd Hashim Mat Zain berkata aktiviti rasuah dalam kalangan anggotanya sudah lama dikesan namun tiada bukti cukup kerana nelayan enggan beri kerjasama.

Pengarah APMM Kuala Perlis Mohd Hashim Mat Zain berkata pihaknya bersama SPRM dalam menghapuskan jenayah tidak bermoral itu.
PETALING JAYA:
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis mendedahkan sudah lama mengesan perbuatan menerima “suapan bulanan” melibatkan segelintir anggotanya.

Mohd Hashim Mat Zain berkata demikian susulan penahanan dua penguat kuasa agensi itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, anggota berkenaan sudah lama berada dalam pemerhatiannya, namun gagal memperoleh bukti apabila nelayan enggan memberi kerjasama.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara itu dan bersama SPRM dalam menghapuskan jenayah tidak bermoral itu.

“Kegiatan ini telah lama saya kesan iaitu sejak mula mengambil alih jawatan sebagai pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis pada 2022,” katanya kepada Bernama.

Media sebelum ini melaporkan dua penguat kuasa APMM dan seorang orang awam direman selama enam hari hingga 8 Feb ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Hashim mengesahkan perkara itu dan berkata seorang daripada anggotanya dibebaskan SPRM Sabtu lalu.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang terlibat dalam aktiviti jenayah seperti ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SPRM berkata lebih banyak tangkapan akan dilakukan selepas ini melibatkan anggota APMM dan pihak ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.