
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata beliau membentangkan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) kepada Jemaah Menteri pada 2 Feb, dengan cadangan itu diluluskan selepas dipertimbangkan dengan teliti.
“Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah adalah projek kebangkitan nasional yang ditunjangi oleh prinsip panduan Malaysia Madani,” kata Loke dalam ucapannya di lapangan terbang itu di sini.
“Dari segi ekonomi, ini akan mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca-pandemik dengan menarik pelaburan menarik pelaburan dari dalam mahupun luar negara.”
Beliau berkata, SARP juga melibatkan usaha memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet (narrow body) sehingga A320/B737 atau seumpamanya dan ‘belly kargo’.
“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang perniagaan ataupun kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan lapangan terbang itu yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota negara kita,” katanya.
Loke berkata, melalui SARP, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai 8 juta penumpang setahun, selain menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Katanya, Malaysia Airports akan merangka seluruh pelan pembangunan semula itu secara terperinci selepas mengambil kira pandangan semua pihak dalam sesi libat urus dengan sikap terbuka dan membina.
“Anggaran kos pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dapat diumumkan selepas pelan terperinci tersebut siap dibentangkan pada masa hadapan,” katanya.