3 ADUN keluar Warisan, sokong pentadbiran Hajiji

3 ADUN keluar Warisan, sokong pentadbiran Hajiji

Mohammad Mohamarin, Chong Chen Bin, dan Norazlina Arif keluar Warisan untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Tangkap layar video pengumuman keluar Warisan dan menyokong pentadbiran Hajiji Noor di Sabah oleh Mohammad Mohamarin (kiri), Norazlina Arif, dan Chong Chen Bin.
PETALING JAYA:
Tiga ADUN Warisan mengumumkan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong pentadbiran Hajiji Noor di Sabah.

Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), dan Norazlina Arif (Kunak) berkata keputusan ini dibuat selepas “mengambil kira hala tuju gabungan parti” dan “pandangan akar umbi” Warisan di kawasan masing-masing.

Ketiga-tiga ADUN ini berharap sokongan kepada kerajaan perpaduan di Sabah akan membolehkan mereka meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang diwakili.

“Sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan kerana ia memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Mereka juga mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada penyokong Warisan, dan mahu bekerjasama dengan pemerintah untuk pembangunan Sabah dan memberi khidmat di kawasan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.