Sultan Johor hadir majlis santapan sempena Thaipusam

Sultan Johor hadir majlis santapan sempena Thaipusam

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkongsi foto baginda bersama penganut Hindu meraikan Thaipusam di sebuah kuil di Skudai.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar di Skudai untuk jamuan tengah hari. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim)
PETALING JAYA:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiri majlis santapan sempena Thaipusam peringkat negeri Johor di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar di Skudai hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, kehadiran Sultan Ibrahim di majlis santapan itu turut diiringi Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan dua exco negeri, Raven Kumar Krishnasamy dan Ling Tian Soon.

Turut hadir Ketua DAP Johor dan ADUN Perling Liew Chin Tong.

Gambar yang dikongsi di Facebook itu menunjukkan Sultan Ibrahim disambut mesra oleh sekumpulan penganut Hindu dan ahli jawatankuasa kuil berkenaan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada majlis makan tengah hari, bersama menteri besar Johor Onn Hafiz Ghazi (duduk, 3 dari kiri) dan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong (duduk, 2 dari kanan). (Gambar Facebook Sultan Ibrahim)

Minggu lalu, Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) mengeluarkan fatwa melarang umat Islam menghadiri dan menyertai upacara keagamaan agama lain di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata Sultan Ibrahim telah memperkenankan fatwa berkenaan, yang berkuat kuasa pada 2 Feb.

Pada hari yang sama, baginda bertitah bahawa fatwa itu tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama seperti yang dianuti di bawah konsep “Bangsa Johor”.

Baginda menjelaskan bahawa ia hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam upacara keagamaan lain tetapi mereka masih boleh menghadiri acara perayaan agama lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.